Sunday, October 11, 2009

Maafkan Cikgu

DIPETIK DARI EMAIL YG DI HANTAR OLEH SEORANG KAWAN.

MAAFKAN CIKGU

Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.
Ceritanya:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur . Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah.. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.
Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"
Dia terkejut dan wajahnya berubah.
"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya
"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"
" Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ........"
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;
i.. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah

Raya Dah Berlalu

Sebelum raya yang lepas saya telah berpeluang mengikuti tazkirah di Masjid Rafeh, Taman Uda. Dalam tazkirah tersebut ustaz telah menyampaikan pengajaran supaya melaksanakan ibadat sunat iaitu Takbir Raya pada malam raya hinggalah sebelum sembahyang sunat hari raya.

Ustaz juga menjelaskan amalan orang dulu-dulu mengenai mereka akan menangisi pemergian ramadan dan berdoa selama 6 bulan selepas pemegian ramadan supaya amalan yang dibuat dalam ramadan diterima oleh Allah.

Selepas 6 bulan berdoa supaya amalan mereka diterima, seterusnya mereka berdoa supaya dipanjangkan umur pula supaya mereka dapat hidup hingga kebulan ramadan yang ditunggu.

Kenapa begini perlakuan mereka? Ini adalah kerana fadilat bulan ramadan yang maha luas sepertimana dijanjikan allah itulah amat diharapkan.

Thursday, September 17, 2009

Selamat Hari Raya

Kepada semua ambo nak ucapkan selamat berhari raya, maaf zhahir dan batin. Berhati-hatilah semasa memandu. Selamat bertemu dengan keluarga tersayang dan kembali ke kampung tercinta.

Thursday, September 10, 2009

Antara tugas dan keperluan diri

Alhamdulillah pada hari ini telah selesai satu lagi tugasan aku di AKM dalam menguruskan Bengkel Pengurusan Rekod yang bermula pada 7 - 10 september 2009. Aku bersyukur pada tuhan walau pun dalam kesihatan yang tidak mengizinkan aku masih lagi berjaya menguruskan kursus ini hingga ke penghujungnya.

Sepanjang kursus ini berjalan aku mengalami sakit urat, batuk, selsema, angin dan demam. Pada jam 12.15 tadi setelah selesai majlis penyampaian sijil aku terus ke klinik Kuah untuk mendapatkan rawatan. Didapati tekanan darah adalah tinggi, batuk dan selsema. Demam sudah berkurangan kerana aku ada mengambil penadol. Keadaan kesihatan aku ini mungkin terjadi begini kerana dalam masa 2-3 hari ini aku tak dapat tidur nyenyak dan pengambilan makanan dan minuman yang tidak teratur.

Disebabkan ketika aku sampai di klinik, aku merupakan orang yang terakhir mendapatkan rawatan, tak sampai 5 minit proses pemeriksaan telah selesai. Aku ke pejabat LADA mengambil kunci rumah yang baru ditawarkan melalui tel pada jam 10.00 pagi tadi. Aku diminta melihat rumah yang ditawarkan. Dalam keadaan yang tidak sihat aku memanjat bagunan rumah tiga tingkat untuk melihat keadaan rumah tersebut. Rumah agak ok. Tapi aku yang tak ok. Bayangkan baru naik tingkat 3, sesampai sahaja di tingkat yang berkenaan aku dah penat, meloya dan terus termuntah. Tak tahulah macam mana dengan puasa aku hari ni.

Sebenarnya tingkat 3 tak jadi masalah bagi aku kerana untuk mendapatkan rumah sewa di langkawi cukup sukar. Ini pun masuk 1 tahun 1/2 baru aku mendapat tawaran ini. Alhamdulillah aku terus bersetuju. Maklumlah sekarang aku hanya menyewa bilik sahaja. Kekawan dan adik beradik yang nak berkunjung kesini tak dapat untuk menumpang pun.

Aku percaya anak-anakku tentu gembira dengan berita ini, mereka setiap kali cuti sekolah sudah tentu dapat datang dan tinggal di Langkawi. Maklumlah dah lebih dari satu tahun aku bertugas di sini, hanya 2 orang anak lelaki ku saja yang dapat ku bawa untuk tinggal sebilik denganku di langkawi. Mereka masih tak puas hati, apa lagi anak perempuanku, mereka langsung tak pernahku bawa.

Ada banyak lagi tugasan yang belum selesai yang perlu aku hadapi. Apa pun aku perlu hadapi jua. Sabar je.

Sunday, September 6, 2009

Rahmat Bulan Puasa

Sedar tak sedar hari ini dah masuk hari ke 16 kita berpuasa. Cepat sungguh masa berlalu. Tambahan pula macam aku ni yang selalu berulang-alik dari Langkawi ke Alor Setar setiap hujung minggu, 16 hari tersebut begitu cepat sekali berlalu.

Semoga ibadat aku sepanjang bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah. Amin.

Tuesday, August 11, 2009

Perjalanan Hidupku Dalam Pekerjaan

Dalam tahun 1985 setelah selesai mengambil STPM, bermulalah alam baru bagi aku. Pusingan hidup sebagai pelajar telah berlalu. Alam baru perlu aku lalui. Kini bermulalah hidup sebagai seorang penganggur. Aku perlu bekerja. Pekerjaan apa yang harus aku mulakan sebagai seorang remaja yang dibesarkan dikampung.

Langkah pertama, aku bersama sahabat baik Ramli (Cikgu Ramli) memohon perkerjaan dikawasan perkilangan di Kamunting. Ketika itu zaman gawat, ramai orang telah dibuang kerja. Usaha kami gagal. Seterusnya aku ke Ipoh, usahaku untuk mendapatkan pekerjaan di sana juga gagal. Apa pun aku memang ada kerja tetapi pada hujung minggu sahaja iaitu membantu bapa berniaga hasil tanaman kampung di pasar Minggu Kamunting.

Pekerjaan ini mula aku lakukan semenjak umur 14 tahun sebagai pembantu kepada bapa saudara yang berniaga pada waktu itu dikemunting. Menjadi pembantu pada bapa saudara seawal jam 5.00 pagi perlu bangun dan menyusun barang-barang kedalam guni. Barang-barang yang siap diisi di dalam guni dibawa dengan basikal ke Pekan Batu Kurau sejauh 5 batu.

Bermula dari situ, disebabkan saya terpaksa bekerja dengan upah yang murah iaitu RM 3.00 bapa saya memulakan perniagaan yang sama. Ketika itu barang-barang dibawa kekamunting dengan menyewa kereta. Pelbagai barangan tanaman kampung seperti pisang, petai, jering, pucu-pucuk kayu, tempoyak, durian dan sebagainya diniagakan.

Setelah gagal mencari pekerjaan, kakak angkat aku iaitu Cikgu Norlia yang mengajar di Sekolah Agama Daerah (Shubbaniah) menawarkan aku menggantikan beliau untuk mengajar di sekolah yang berkenaan. Aku amat gembira kerana pada awal tahun 1986 aku telah menjadi seorang guru dengan tawaran gaji RM 75.00. Bagi aku sukur alhamdulillah kerana aku tidak menganggur lagi.

Penghujung tahun 1985-1987 aku aktif dalam politik dan juga pertubuhan belia 4 B. Dalam setahun jagung berpolitik aku telah menjawat jawatan setiausaha Pemuda Cawangan dan mengikuti kursus bina insan. Dalam Belia 4B aku dianugerahkan Ahli Paling Aktif. Masuk tahun ke 2 dalam belia 4B aku dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan. Dalam tahun 87 kelas bimbingan untuk anak-anak kampung dibuka. Aku terlibat sebagai salah seorang dari tenaga pengajarnya secara sukarela.

Semasa menjadi cikgu, lebih kurang dalam masa 2 bulan aku ke sekolah untuk mengajar dengan menaiki basikal sahaja. Sedangkan pada waktu itu, kedapatan pelajar yang kesekolah dengan motosikal. Aduh terseksa juga batin menanggung malu. Tapi apa pun aku perlu hadapi, cabaran perlu dilalui. Kemudian aku telah berjaya membeli sebuah motosikal Honda 70 dengan harga RM 650.00 dari Pak Long Mezah.

Untuk membeli motor tersebut aku terpaksa meminjam duit adik yang ketika itu menjadi pemandu lori. Adik aku hanya bersekolah hingga tingkatan 3 sahaja. Setelah gagal dalam SRP dia melakukan pelbagak pekerjaan dari bekerja di warung kopi, kontrek, kedai barang dan akhirnya pemandu lori. Emak tidak pernah melarang atau memaksa anak-anaknya. Buatlah yang baik untuk diri dan jangan malukan nama keluarga. Itu pesanan emak.

2 tahun lamanya aku bekerja sebagai guru. Tetapi sepanjang masa tersebut bermacam-macam jawatan yang aku pohon dan ditemuduga. Antaranya ialah askar, konstebal polis, inspektor polis, inspektor penjara, bomba dan akhir sekali wader penjara. Ada jawatan yang gagal dan ada yang jawapan temuduganya tidak aku perolehi.

Pada pertengahan November 1987 aku telah ditawarkan jawatan Pegawai Penjara Tingkatan II ( Wader Penjara). Pada 1.12.87 aku melapurkan diri bertugas di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping. Dalam proses penyesuaian, aku merasa amat susah. Bayangkan dalam hidup aku, aku tidak pernah berkawad. Aku diberi latihan asas selama sebulan bagi mempelajari undang-undang penjara, belajar senjata, berkawad dan pelajaran seni mempertahankan diri.

Lebih kurang 90 orang pelatih baru termasuk aku melapur diri dan diberi latihan. Kami saling tolong menolong di antara satu sama lain dan hidup sebagai keluarga. Lapan tahun aku di KEMTA banyak kenangan indah yang tidak dapat aku lupakan. Antaranya paksaan menyertai pasukan Taekwando.

TPP Azlan Abdul Rahman, sangat tegas dan mesra. Dialah orang yang memaksa kami menyertai pasukan Taekwando. Latihan keras dalam Taekwando kami jalani dengan senang hati walaupun terpaksa kerana kekadang Tn Azlan buat kami macam anak-anaknya. Kami sangat menyanjungi cara pentadbiranya di mana kebajikan amat dijaga dan pelajaran diutamakan.

Bagi yang berminat untuk belajar, diberi peluang untuk bekerja sebelah pagi sahaja dan petang boleh menyambung pelajaran. Dalam tahun 1989 Pasukan Taekwando Kemta telah menyertai kejohanan tertutup Perak di Ipoh. Pasukan kami telah menjadi johan berpasukan. Waktu itu saya memenangi 2 hadiah iaitu johan dan naib johan (individu) dan membantu pasukan menjadi johan dalam acara berpasukan.

Seterusnya dalam tahun 1989 saya berkahwin dan tidak aktif lagi dalam bidang taekwando. Namun saya sangat aktif dengan pasukan kompang Kemta dan kumpulan marhaban. Dalam tahun 1995 saya menerima Anugerah Cemerlang. Saya seterusnya berjaya menyertai kusus kadet penjara. Hampir 2 minggu saya dalam latihan kadet, keputusan temuduga inspektor penjara diterima. Saya telah berjaya dalam temuduga dan dinaikkan pangkat inspektor penjara. Apa pun itu adalah temuduga kali ke 5.

Mungkin kelemahan saya banyak bekerja tetapi tak petah bercakap menyebabkan saya gagal dalam temuduga. Apa pun akhirnya saya berjaya juga dan ditukarkan ke Pulau Pinang. Di Pulau Pinang sebagai seorang pegawai kanan cabarannya dalam kerjaya amat tinggi. Pelbagai masalah perlu diharungi dan dihadapi. Kerana menjalankan tanggungjawab dan penguatkuasaan undang-undang, saya banyak kali terpaksa berurusan dengan pihak polis dan mahkamah.

Penguatkuasaan undang-undang di dalam penjara ini ada yang melibatkan kakitangan dan ada juga dikalangan banduan dan tahanan yang melakukan pelbagai perbuatan salah laku yang menyalahi undang-undang penjara dan negara. Kakitangan yang bermasalah dan melakukan penyelewengan tugas amat membenci saya kerana penguatkuasaan tersebut. Walau pun jumlah mereka tidak ramai, tetapi mereka menjatuhkan imej jabatan.

Dalam masa 10 tahun aku di Penjara Pulau Pinang, aku telah menerima sijil kepujian dari ketua Pengarah Penjara Malaysia dan juga memperolehi hadiah daripada Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara kerana tugas yang dilakukan. Aku juga melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pengurusan penganjuran sukan peringkat institusi, jabatan, negeri dan negara yang berlangsung di Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang aku masih sempat lagi menyambung pelajaran dengan USM secara Pendidikan Jarak Jauh. Tahun 2002 merupakan tahun bertuah bagi aku kerana memperolehi Ijazah dan juga pengiktirafan jabatan dengan memperolehi Anugerah Khidmat Cemerlang sekali lagi. Inilah rezeki yang tuhan bagi kepada . Alhamdulillah.

Walau bagaimanapun banyak pengorbanan yang terpaksa aku lakukan. Pengorbanan masa, wang ringgit dan juga tenaga. Masa dengan pekerjaan, isteri dan anak-anak serta keluarga. Semua orang ada masa yang sama. Masa yang ada demi untuk kebaikan diri perlu kita urus dengan baik.

Pada suatu hari pernah satu mak cik yang satu kampung dengan aku bertanyakan tentang hal aku. "engkau ini berkerja, kenapa macam gaji tak cukup sahaja". Ini kerana tanggapannya pegawai kanan gaji besar, sedangkan aku semuanya serba sederhana. Balik kampung pakai kereta moris minor. Tak nampak langsung kemewahan. Memang pun aku mana ada duit banya, dengan susu anak, dengan yuran pengajian dan hidup pula di Pulau Pinang, semuanya tinggi. Aku hanya gelak sahaja. Itulah cabaran yang kita perlu hadapi dengan senyuman.

Pada 3.1.2005 aku diarah melapur diri ke Penjara Alor Setar kerana dinaikkan pangkat Timbalan Penguasa Penjara. Di sini walaupun aku berpuas hati kerana mencapai kemajuan kerjaya tetapi aku sedikit rugi kerana naik pangkat tidak mengikut step iaitu dari 27 ke 41. Adalah menguntungkan kalau dapat 32 dan 38 dahulu. Apa pun dari segi jangka panjangnya aku dalam golongan beruntung. Apa pun aku bersyukur pada tuhan kerana limpahan rezekinya.

4 tahun di Penjara Alor Setar, aku telah menaikkan nama institusi dan juga nama Jabatan Penjara Malaysia. Aku merupakan fasilatator yang membawa kemenangan dalam Anugerah Inovasi (MAMPU) dengan projek Kerusi Berkamera. Tujuan penciptaan kerusi berkamera ini adalah bagi memudahkan pemeriksaan bahagian dubur. Melalui pemeriksaan ini penyeludupan yang menggunakan rektum dapat dicegah. Ini merupakan kerusi terbaru di dunia keselamatan di dunia ini.

Dalam tahun 2007 sekali lagi saya dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang. Inilah rezeki tuhan. Namun bintang saya agak malap kini, saya bertugas di Langkawi. Saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan keluarga. Bagi saya selepas ibu, isteri dan keluargalah yang memberi semangat dan kekuatan untuk saya berjuang dan bekerja untuk menabur bakti pada negara.

Di Langkawi aku bertugas di Akademi Koreksional Malaysia yang fokusnya pada bidang latihan. Bagi aku, bidang latihan merupakan bidang baru. Banyak selok beloknya yang perlu aku pelajari. Aku memerlukan masa untuk mendalaminya. Aku perlukan bantuan kepakaran untuk terbang tinggi menggalas harapan jabatan. Aku perlu mengorak langkah membina kejayaan dalam dunia baru ini. Hidup ibarat roda, walau sepandai mana pun kita, kita perlu bantuan dan tunjuk ajar. Kita ada kelebihan dan kekurangan.

Inilah kehendak tuhan yang rahsianya perlu kita cari. Kesemuanya mengandungi rahsia yang tersendiri yang perlu kita mengambil pelajaran daripadanya.

Friday, July 31, 2009

Anak-anak



Angah dan adik

Anak Dan Anak Saudara Kat Rumah Acu


Anak-anak leka bermain, beginilah mereka bermain setiap kali berjumpa. Muhammad Alhakim dan Muhammad Azfar bersama anak acu Danish (paling kecil dalam gambar) dan Nurin Jaslina (anak perempuan sorang)

Thursday, July 30, 2009

Lang Melayang

Masa anak-anak ku masih kecil, aku selalu nyanyikan lagu "Lang Melayang" kepada mereka. Mereka cukup gembira dengan lagu ini dan turut menyanyi bersama. Tapi kini anak-anakku telah besar, yang paling besar 18 tahun, manakala yang kecil 9 tahun.

Kenangan "Lang Malayang" masih dalam ingatan, tetapi lagu ini pengisiannya tak semeriah dulu. Ini kerana aku keseorangan di Langkawi, manakala anak dan isteri berada di Alor Setar. Laut telah memisahkan kami. Inilah lirik lagu yang kerap aku nyanyikan :

Lang Melayang terbalik-balik
Lang Menuju Ke Pulau Pinang
Tunggu Emak Tak Balik-balik
Air mata berlinang-linang

Rupanya betullah permintaan aku dulu. Nyanyian aku tuhan dah makbulkan. Aku kini bertugas di Langkawi di mana "Lang" di lihat begitu besar sekali di sini. Walau pun secara kebetulan, tetapi kini aku berada di sini iaitu Langkawi atau Pulau Legenda.

Friday, July 24, 2009

Kenangan di KLCC

Ketika mengikuti rombongan INTAN

Tuesday, July 14, 2009

Anak-anakku

Anak-anakku sayang
Kalau menjadi manusia
Jangan menjadi manusia biasa-biasa
Longgar jiwanya, Rapuh imannya,
sempit mindanya, Gelap masa depannya
Tetapi anak-anakku sayang
Jadilah manusia luar biasa
Gah jiwanya
Kental imannya
Tertib solatnya
Quran juadahnya
Luas pandangannya
Gemilang masa depannya

Anak-anakky sayang
Perahu sudah di air
Pendayung sudah di tangan
Fikirlah, renunglah
Katakan pada dirimu
Bahawa saya tidak memilih
Untuk jadi manusia biasa
Tapi saya memilih
Untuk menjadi manusia luar biasa

Wahai ayah, wahai ibu
Saksikanlah perubahan anak-anakmu pada hari ini
Akan melahirkan insan yang
Cemerlang di dunia
Gemilang di akhirat....

Pertama kali membina blog


Di sinilah tempat ambo mencari makan untuk keluarga. Apa terjadi pun inilah takdir diri, mahu tak mahu terimalah ketentuan ilahi ini. Mungkin inilah yang terbaik untuk diri saya. Rahsia Allah tak siapa mengetahuinya.