Tuesday, August 11, 2009

Perjalanan Hidupku Dalam Pekerjaan

Dalam tahun 1985 setelah selesai mengambil STPM, bermulalah alam baru bagi aku. Pusingan hidup sebagai pelajar telah berlalu. Alam baru perlu aku lalui. Kini bermulalah hidup sebagai seorang penganggur. Aku perlu bekerja. Pekerjaan apa yang harus aku mulakan sebagai seorang remaja yang dibesarkan dikampung.

Langkah pertama, aku bersama sahabat baik Ramli (Cikgu Ramli) memohon perkerjaan dikawasan perkilangan di Kamunting. Ketika itu zaman gawat, ramai orang telah dibuang kerja. Usaha kami gagal. Seterusnya aku ke Ipoh, usahaku untuk mendapatkan pekerjaan di sana juga gagal. Apa pun aku memang ada kerja tetapi pada hujung minggu sahaja iaitu membantu bapa berniaga hasil tanaman kampung di pasar Minggu Kamunting.

Pekerjaan ini mula aku lakukan semenjak umur 14 tahun sebagai pembantu kepada bapa saudara yang berniaga pada waktu itu dikemunting. Menjadi pembantu pada bapa saudara seawal jam 5.00 pagi perlu bangun dan menyusun barang-barang kedalam guni. Barang-barang yang siap diisi di dalam guni dibawa dengan basikal ke Pekan Batu Kurau sejauh 5 batu.

Bermula dari situ, disebabkan saya terpaksa bekerja dengan upah yang murah iaitu RM 3.00 bapa saya memulakan perniagaan yang sama. Ketika itu barang-barang dibawa kekamunting dengan menyewa kereta. Pelbagai barangan tanaman kampung seperti pisang, petai, jering, pucu-pucuk kayu, tempoyak, durian dan sebagainya diniagakan.

Setelah gagal mencari pekerjaan, kakak angkat aku iaitu Cikgu Norlia yang mengajar di Sekolah Agama Daerah (Shubbaniah) menawarkan aku menggantikan beliau untuk mengajar di sekolah yang berkenaan. Aku amat gembira kerana pada awal tahun 1986 aku telah menjadi seorang guru dengan tawaran gaji RM 75.00. Bagi aku sukur alhamdulillah kerana aku tidak menganggur lagi.

Penghujung tahun 1985-1987 aku aktif dalam politik dan juga pertubuhan belia 4 B. Dalam setahun jagung berpolitik aku telah menjawat jawatan setiausaha Pemuda Cawangan dan mengikuti kursus bina insan. Dalam Belia 4B aku dianugerahkan Ahli Paling Aktif. Masuk tahun ke 2 dalam belia 4B aku dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan. Dalam tahun 87 kelas bimbingan untuk anak-anak kampung dibuka. Aku terlibat sebagai salah seorang dari tenaga pengajarnya secara sukarela.

Semasa menjadi cikgu, lebih kurang dalam masa 2 bulan aku ke sekolah untuk mengajar dengan menaiki basikal sahaja. Sedangkan pada waktu itu, kedapatan pelajar yang kesekolah dengan motosikal. Aduh terseksa juga batin menanggung malu. Tapi apa pun aku perlu hadapi, cabaran perlu dilalui. Kemudian aku telah berjaya membeli sebuah motosikal Honda 70 dengan harga RM 650.00 dari Pak Long Mezah.

Untuk membeli motor tersebut aku terpaksa meminjam duit adik yang ketika itu menjadi pemandu lori. Adik aku hanya bersekolah hingga tingkatan 3 sahaja. Setelah gagal dalam SRP dia melakukan pelbagak pekerjaan dari bekerja di warung kopi, kontrek, kedai barang dan akhirnya pemandu lori. Emak tidak pernah melarang atau memaksa anak-anaknya. Buatlah yang baik untuk diri dan jangan malukan nama keluarga. Itu pesanan emak.

2 tahun lamanya aku bekerja sebagai guru. Tetapi sepanjang masa tersebut bermacam-macam jawatan yang aku pohon dan ditemuduga. Antaranya ialah askar, konstebal polis, inspektor polis, inspektor penjara, bomba dan akhir sekali wader penjara. Ada jawatan yang gagal dan ada yang jawapan temuduganya tidak aku perolehi.

Pada pertengahan November 1987 aku telah ditawarkan jawatan Pegawai Penjara Tingkatan II ( Wader Penjara). Pada 1.12.87 aku melapurkan diri bertugas di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping. Dalam proses penyesuaian, aku merasa amat susah. Bayangkan dalam hidup aku, aku tidak pernah berkawad. Aku diberi latihan asas selama sebulan bagi mempelajari undang-undang penjara, belajar senjata, berkawad dan pelajaran seni mempertahankan diri.

Lebih kurang 90 orang pelatih baru termasuk aku melapur diri dan diberi latihan. Kami saling tolong menolong di antara satu sama lain dan hidup sebagai keluarga. Lapan tahun aku di KEMTA banyak kenangan indah yang tidak dapat aku lupakan. Antaranya paksaan menyertai pasukan Taekwando.

TPP Azlan Abdul Rahman, sangat tegas dan mesra. Dialah orang yang memaksa kami menyertai pasukan Taekwando. Latihan keras dalam Taekwando kami jalani dengan senang hati walaupun terpaksa kerana kekadang Tn Azlan buat kami macam anak-anaknya. Kami sangat menyanjungi cara pentadbiranya di mana kebajikan amat dijaga dan pelajaran diutamakan.

Bagi yang berminat untuk belajar, diberi peluang untuk bekerja sebelah pagi sahaja dan petang boleh menyambung pelajaran. Dalam tahun 1989 Pasukan Taekwando Kemta telah menyertai kejohanan tertutup Perak di Ipoh. Pasukan kami telah menjadi johan berpasukan. Waktu itu saya memenangi 2 hadiah iaitu johan dan naib johan (individu) dan membantu pasukan menjadi johan dalam acara berpasukan.

Seterusnya dalam tahun 1989 saya berkahwin dan tidak aktif lagi dalam bidang taekwando. Namun saya sangat aktif dengan pasukan kompang Kemta dan kumpulan marhaban. Dalam tahun 1995 saya menerima Anugerah Cemerlang. Saya seterusnya berjaya menyertai kusus kadet penjara. Hampir 2 minggu saya dalam latihan kadet, keputusan temuduga inspektor penjara diterima. Saya telah berjaya dalam temuduga dan dinaikkan pangkat inspektor penjara. Apa pun itu adalah temuduga kali ke 5.

Mungkin kelemahan saya banyak bekerja tetapi tak petah bercakap menyebabkan saya gagal dalam temuduga. Apa pun akhirnya saya berjaya juga dan ditukarkan ke Pulau Pinang. Di Pulau Pinang sebagai seorang pegawai kanan cabarannya dalam kerjaya amat tinggi. Pelbagai masalah perlu diharungi dan dihadapi. Kerana menjalankan tanggungjawab dan penguatkuasaan undang-undang, saya banyak kali terpaksa berurusan dengan pihak polis dan mahkamah.

Penguatkuasaan undang-undang di dalam penjara ini ada yang melibatkan kakitangan dan ada juga dikalangan banduan dan tahanan yang melakukan pelbagai perbuatan salah laku yang menyalahi undang-undang penjara dan negara. Kakitangan yang bermasalah dan melakukan penyelewengan tugas amat membenci saya kerana penguatkuasaan tersebut. Walau pun jumlah mereka tidak ramai, tetapi mereka menjatuhkan imej jabatan.

Dalam masa 10 tahun aku di Penjara Pulau Pinang, aku telah menerima sijil kepujian dari ketua Pengarah Penjara Malaysia dan juga memperolehi hadiah daripada Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara kerana tugas yang dilakukan. Aku juga melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pengurusan penganjuran sukan peringkat institusi, jabatan, negeri dan negara yang berlangsung di Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang aku masih sempat lagi menyambung pelajaran dengan USM secara Pendidikan Jarak Jauh. Tahun 2002 merupakan tahun bertuah bagi aku kerana memperolehi Ijazah dan juga pengiktirafan jabatan dengan memperolehi Anugerah Khidmat Cemerlang sekali lagi. Inilah rezeki yang tuhan bagi kepada . Alhamdulillah.

Walau bagaimanapun banyak pengorbanan yang terpaksa aku lakukan. Pengorbanan masa, wang ringgit dan juga tenaga. Masa dengan pekerjaan, isteri dan anak-anak serta keluarga. Semua orang ada masa yang sama. Masa yang ada demi untuk kebaikan diri perlu kita urus dengan baik.

Pada suatu hari pernah satu mak cik yang satu kampung dengan aku bertanyakan tentang hal aku. "engkau ini berkerja, kenapa macam gaji tak cukup sahaja". Ini kerana tanggapannya pegawai kanan gaji besar, sedangkan aku semuanya serba sederhana. Balik kampung pakai kereta moris minor. Tak nampak langsung kemewahan. Memang pun aku mana ada duit banya, dengan susu anak, dengan yuran pengajian dan hidup pula di Pulau Pinang, semuanya tinggi. Aku hanya gelak sahaja. Itulah cabaran yang kita perlu hadapi dengan senyuman.

Pada 3.1.2005 aku diarah melapur diri ke Penjara Alor Setar kerana dinaikkan pangkat Timbalan Penguasa Penjara. Di sini walaupun aku berpuas hati kerana mencapai kemajuan kerjaya tetapi aku sedikit rugi kerana naik pangkat tidak mengikut step iaitu dari 27 ke 41. Adalah menguntungkan kalau dapat 32 dan 38 dahulu. Apa pun dari segi jangka panjangnya aku dalam golongan beruntung. Apa pun aku bersyukur pada tuhan kerana limpahan rezekinya.

4 tahun di Penjara Alor Setar, aku telah menaikkan nama institusi dan juga nama Jabatan Penjara Malaysia. Aku merupakan fasilatator yang membawa kemenangan dalam Anugerah Inovasi (MAMPU) dengan projek Kerusi Berkamera. Tujuan penciptaan kerusi berkamera ini adalah bagi memudahkan pemeriksaan bahagian dubur. Melalui pemeriksaan ini penyeludupan yang menggunakan rektum dapat dicegah. Ini merupakan kerusi terbaru di dunia keselamatan di dunia ini.

Dalam tahun 2007 sekali lagi saya dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang. Inilah rezeki tuhan. Namun bintang saya agak malap kini, saya bertugas di Langkawi. Saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan keluarga. Bagi saya selepas ibu, isteri dan keluargalah yang memberi semangat dan kekuatan untuk saya berjuang dan bekerja untuk menabur bakti pada negara.

Di Langkawi aku bertugas di Akademi Koreksional Malaysia yang fokusnya pada bidang latihan. Bagi aku, bidang latihan merupakan bidang baru. Banyak selok beloknya yang perlu aku pelajari. Aku memerlukan masa untuk mendalaminya. Aku perlukan bantuan kepakaran untuk terbang tinggi menggalas harapan jabatan. Aku perlu mengorak langkah membina kejayaan dalam dunia baru ini. Hidup ibarat roda, walau sepandai mana pun kita, kita perlu bantuan dan tunjuk ajar. Kita ada kelebihan dan kekurangan.

Inilah kehendak tuhan yang rahsianya perlu kita cari. Kesemuanya mengandungi rahsia yang tersendiri yang perlu kita mengambil pelajaran daripadanya.