Saturday, January 16, 2010

Sesat

Rasa seperti mahu menangis. Inilah pertama kali aku tersesat di rimba. Ini bukanlah kali pertama aku mencaghi rotan. Aku dah biasa mengikut bapa aku kehutan mencaghi rotan. Aku dah biasa dengan Arwah Awang Judin Mereka telah mengajar aku bagaimana hendak mencari rotan, menanda laluan supaya dapat mencari jalan balik. Serba sedikit aku telah mempelajari teknik-teknik mencari rotan.

Untuk kali ini aku tidak bersama dengan bapaku atau arwah Awang Judin. Tapi kali ini aku pergi dengan Din Cak, Meli Tok Yan dan beberapa oghang lagi yang aku dah tak ingat lagi siapa mereka. Kami semua berpakat memilih hari sabtu sewaktu cuti sekolah untuk mencari rotan.

“Meli….Meliiii” aku melaung nama kawanku. Suara laungan aku berbunyi sahut-sahutan dirimba. Ketika itu aku seorang diri di dalam kawasan berbatu besar di suak bukit. Bersama aku ketika itu terdapat dua batang rotan yang agak panjang yang aku tarik untuk di bawa pulang.

Aku takut. Takut keseorangan di dalam rimba. Takut tak mampu menyanggah bukit untuk menarik rotan. Takut tak dapat mencaghi jalan pulang. “dinnnn…” aku memanggil kawan aku yang seorang lagi. Laungan aku bersahut-sahutan lagi di rimba.

Aku gagahkan diri menarik rotan melalui gugusan batu hampar. Seluruh tenaga aku kerahkan. Akhirnya aku berjaya menaiki suak bukit tersebut. Aku masih tidak dapat mencari jalan pulang. “Ya Allah tolonglah aku”.

Badan menjadi seram sejuk. Perut mula berbunyi. Aku amat lapar. Aku jangka boleh balik awal hari ini. Bekalan aku kehutan hanya beralaskan air masak semata-mata. Hari sudah semakin gelap. Langkah semakin longlai.

Tuhan masih menyayangiku. Aku dapat berjumpa dengan kawan-kawan. Kami sampai ke rumah pada jam 7.00 malam. Rotan yang aku jual pada hari itu bernilai RM 2.20. Mulai hari itu aku menanam azam untuk merubah haluan hidup.

Inilah kenangan sebagai azimat untuk merubah diriku. Kita adalah apa yang kita fikirkan.